katakanlah

katakanlah

May 13, 2014

Kepimpinan

Assalamualaikum W.B.T....

Topik berkisar mengenai "PIMPIN" sering menjadi persoalan, pertikaian, mahupun di beri penghargaan. Terlebih dahulu saya akan bawakan definisi bagi maksud diatas. Kepimpinan bermaksud kebolehan seseorang individu untuk memimpin suatu kelompok ke satu arah tujuan bersama. Pemimpin pula adalah seseorang yang diberi sesuatu tanggungjawab dan amanah untuk memimpin sesebuah organisasi, kumpulan, persatuan mahupun negara.

Jadi, melalui pengertian yang serba ringkas tersebut dapatlah kita rumuskan bahawa kepimpinan dan pemimpin merupakan dua asas tunjang dalam menentukan hala tuju sesebuah pertubuhan. Jika terdapat kepincangan dikesan berlaku terhadap seseorang individu dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan atau tanggungjawab dirinya, maka gelaran-gelaran seperti pemimpin kuku besi, jerung, mahupun burung belatuk akan ditujukan kepada pemimpin.

Sebenarnya tidak salah orang bawahan melabel sedemikian kepada golongan pemimpin. Hal ini kerana seorang pemimpin hanya akan merasakan dirinya sangat betul dalam segala hal tanpa memandang kebelakang yang menjadi tempat dimana asalnya mereka berada. Hanya kerana merasakan dirinya adalah golongan elit dalam sesebuah organisasi atau pertubuhan, maka sikap hidung tinggi dirasakan perlu ada dalam naluri pemimpin seperti itu. Ramai pemimpin silap melabel diri mereka kononnya berada pada kelas tersendiri tidak kira sektor swasta mahupun sektor kerajaan.

Kebanyakan pemimpin zaman sekarang hanya mengejar nama, pujian dan hanya mahu orang mengagungkan cara mereka memimpin. Rasional dalam memimpin selalu ditolak ketepi bagi memberi jalan kepada emosi dan kegairahan mengapai puncak. Pemimpin politik misalnya hanya mementingkan nama berbanding kerja atau amalan yang dibuat. Semua yang dilakukan dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara ingin diabadikan sebagai sumbangan diri dengan harapan orang mengingati, memandang tinggi serta memberi pulangan kepada diri. Keikhlasan itu hilang walaupun perkara yang dilakukan itu adalah bertujuan untuk kebaikan yang boleh menjadi ibadah. Semuanya mahu diketahui orang ramai agar mereka memuji individu dan parti yang dianggotainya. Ini adalah sangat memalukan kerana pada saya rakyat semakin bijak dan bukan melihat apa yang dipaparkan dan dilakonkan, tetapi menilai apa yang dicapai, apa yang diberi serta sumbangan untuk kesejahteraan. Mungkin saya bukan hidup pada zaman Tun Hussein Onn dan kebawah, tetapi kepimpinan melalui tauladan yang diterapkan oleh Tun Dr. Mahathir dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sewaktu memimpin menjadi ikutan dan contoh. Mungkin kenyataan ini terdapat yang tidak setuju, tapi terpulang kepada penilai kerana saya juga menilai. Tidak kiralah parti mana, tapi keikhlasan yang cuba ditonjolkan sering mengharapkan balasan dan berlaku kepincangan. 

Pemimpin disekitar kerja kita juga boleh dikatakan bersikap sedemikian kerana ada yang mengejar nama, mengambil kesempatan atas kuasa yang dimiliki serta 'cakap tak serupa bikin'. Segelintir pemimpin yang diberi amanah agar membuat sesuatu urusan dengan baik kerap disalahguna. Bagi mereka, segala pujian dan penghargaan adalah lebih penting dari melihat keringat orang lain menitis. Semua itu penting bagi pemimpin sedemikian untuk cepat mencapai segala impian mereka. Bagi pemimpin ini, segala yang dikatakannya hanyalah betul belaka dan setiap pertuturannya dianggap sangat perlu dipatuhi. Memang benar jika pemimpin yang sebegini berkata seperti apa yang peraturan tetapkan, tetapi cara pembawakkan yang menyebabkan setiap perilaku dipandang serong. Sikap sebegini tidak boleh dianggap kepimpinan melalui tauladan kerana tidak menonjolkan keikhlasan dalam diri. Oleh yang demikian, kukuhkan kepimpinan dalam diri, keluarga atau kelompok yang kecil sebelum berangan untuk memegang tampuk yang lebih besar. 

Menilai diri adalah jalan terbaik dalam membina asas kepada menjadi pemimpin yang terbaik. Menilai kepimpinan orang lain boleh dijadikan contoh agar kepimpinan diri dapat diperbaiki apabila memegang tampuk pemerintahan kelak. Janganlan takut untuk dinilai dan menilai kerana setiap penilaian itu mempersiapkan diri kita untuk memperbaiki sesuatu keadaan serta membina diri menjadi pemimpin yang baik.

Kepimpinan adalah melalui tauladan dan jika kita adalah terbaik, kita hanya segelintir dari yang teragung didunia.

Wassalam...





No comments:

Post a Comment